"At the time of a test, a person rises or falls."
Jadi KUNCI KEJAYAAN MINDA ialah PUNCA KECEMERLANGAN PEMIKIRAN..
meneliti sama ada ia adalah kejayaan sebenar-benar yang kita cari dan Allah suka dan redhai..
Walaubagaimanapun, Al-Qur'an dan Hadis Nabi Muhammad banyak mengungkapkan beberapa banyak ungkapan motivasi ..antaranya :
bersegeralah
berlumba-lumbalah
bersungguh-sungguhlah
bersabarlah
kuatkanlah kesabaranmu
Lihatlah, antara akhlak orang yang berjaya adalah optimis dan tidak berputus asa, mampu memperbaiki kesalahannya dan keluar daripada krisis serta mengubah kerugian menjadi keuntungan.
KELMARIN sudah pun berlalu,
HARI INI sedang berjalan dan
ESOK belum tiba.
Maka gunalah kesempatan HARI INI kerana kesempatan itu ialah HARTA YANG TERPENDAM.
Berjayanya Tindakan Seorang Mukmin itu apabila dia :
- tidak terlepas daripada akal yang sentiasa berfikir.
- pandangan yang sentiasa membina.
- lisan yang sentiasa berzikir.
- hati yang sentiasa bersyukur.
- bersungguh-sungguh untuk bersabar dalam bekerja.
Mereka yang berjaya dengan sebenar-benar kejayaan itu apabila :
- Diredhai Allah kerana keimanannya.
- Disayangi keluarga kerana kelembutannya.
- Dicintai manusia kerana akhlaknya.
- Dihormati masyarakat kerana manfaat yang diberikannya.
Kerana mereka adalah orang yang berjaya , yang selalu memelihara potensi dirinya dan potensi orang di sekelilingnya...mereka yang berjaya adalah mereka yang akalnya tidak tergugat dengan nafsunya. Kesabarannya tidak tergugat oleh kelemahan dirinya dan tidak terpedaya oleh hasutan serta tidak disibukkan oleh sesuatu yang tidak bermanfaat.
Tiada kejayaan SEMANIS MADU tanpa pengorbanan SEPAHIT HEMPEDU..
Kerana hebatnya sarang lebah itu bermula dengan setitis madu dan usaha yang berterusan..
Mengalah tidak ada sama sekali di dalam kamus orang yang hebat.
Namun, burulah DARJAT KEMULIAAN di sisi Allah S.W.T. walaupun engkau terpaksa dihambatKEHINAAN di sisi manusia.. KEMULIAAN di sisi Allah akan merapatkan kamu dengan manusia, tetapiKEMULIAAN di sisi manusia akan menjauhkan diri kamu dengan Allah.
Lihatlah dan renungilah kata-kata Saidina Umar Al-Khattab :
" Jika aku tidur pada siang hari, urusan umatku tidak akan selesai. Jika aku tidur pada malam hari, urusan peribadiku pula tidak selesai "
Santunilah, Pelajari, Hayati dan Ambil iktibar daripada sifat-sifat para sahabat terdekat Nabi Muhammad S.A.W. iaitu :
SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ memiliki kekayaan yang melimpah, namun beliau juga tampil menjadi khalifah dan pemimpin yang berwibawa dengan membawa keadilan, zuhud, ikhlas dan jujur.
SAIDINA UMAR AL-KHATTAB punyai semangat tinggi di sisi Allah, tegas di hadapan musuhnya, adil dalam menentukan hukum.
SAIDINA UTHMAN AL-AFFAN mempunyai peribadi yang lemah lembut, ahli dalam melaksanakan solat tahajjud dan gemar berinfaq. Beliau juga pemalu dan lembut hatinya.
SAIDINA ALI KARAMALLAHU WAJHAH adalah seorang perwira yang perkasa, berani dan pemidato yang sangat hebat, yang mendalami ilmu agama. Malah Nabi Muhammad S.A.W sendiri ada pernah bersabda yang maksudnya :
" Aku adalah gudang ilmu, maka Ali adalah kuncinya "
Lihatlah sahabat! Demi mendapatkan makanan, seekor semut akan berusaha naik beribu-ribu kali ke tempat yang tinggi dan seekor lebah akan terus pergi terbang jauh demi mendapatkan setitis madu.
Oleh itu berazamlah, selagi nyawa masih di badan maka selagi itulah kita harus menuntut ilmu. Harungilah sebarang ranjau di hadapan jika mahukan kejayaan yang hakiki.
Allah berfirman yang maksudnya :
" Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? "
Orang yang berusaha itu ibarat menanam pohon tumbuhan yang berbuah. Tumbuhan itu akan tumbuh bercambah dan berbuah. Ketika itu kita akan merasai nikmat dan kepuasan hasilnya. Gunakanlah pancaindera kita dengan sebaik-baiknya kerana PANCAINDERA ialah ejen kepada kejayaan kita.
SEBAIK-BAIK LENGAN itu ialah lengan pekerja.
SEBAIK-BAIK KEPALA ialah kepala orang yang berfikir.
SEBAIK-BAIK MENGANTUK itu ialah orang yang bersolat tahajjud.
SEBAIK-BAIK KAKI ialah kaki yang melangkah ke hadapan.
SEBAIK-BAIK DARAH ialah darah para syuhada'.
Syair arab ada menyebut :
"Jangan katakan,
Umur masih muda remaja..
Masih banyak kesempatan..
Tetapi renunglah..
Ramai anak-anak kecil yang dikuburkan"
Tanamkan dalam diri..ilmu mesti dicari dan ditimba sebanyak mungkin malah hati pula yang penuh sarat dengan rasa keikhlasan dan mengharap mardhotillah akan dapat menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Mudah-mudahan usaha menyeru kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran dipandang Allah sebagai usaha memartabatkan ISLAM di mata dunia.
Ambillah daripada sabda Rasulullah S.A.W. ini yang maksudnya:
" Sampaikan daripadaku walaupun hanya sepotong ayat "
( hadis sohih, riwayat Al-Bukhari daripada Abdullah b. 'Amri b. Al-'Ash )
Wallahua'lam...
"percayalah, kita adalah juara..maka kekalkan kejuaraan kita itu"
"fokus itu salah satu kunci kejayaan"
_________________________________________
IMTIHAN ITU UJIAN
1. Imtihan biasanya bertujuan untuk menguji penguasaan ilmu yang dipelajari. Tanpa melihat kepada matlamat belajar setiap orang, yang sepatutnya kerana Allah SWT, imtihan telah menjadi satu sistem dalam pendidikan. Sama ada menggunakan kaedah sumatifatau formatif, ia berfungsi untuk menguji kefahaman, sehingga dapat diketahui selepas itu mereka yang cemerlang dengan mereka yang sederhana. Maknanya ia menjadi alat untuk membezakan di antara seseorang dengan seseorang yang lain.
2. Allah Azza wa Jalla memerintahkan nabi SAW supaya melakukan ujian kepada golongan wanita yang datang ke Madinah selepas Perdamaian Hudaibiah tahun ke 6 Hijrah.
Tujuannya untuk menguji keimanan mereka dan mengetahui faktor mereka berhijrah ke Madinah. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahinah ayat 10:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah mereka, Allah lebih mengetahui akan iman mereka. Dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir.
3. Imam al-Tabari (310H) dalam tafsirnya menyebut tentang apa yang dilakukan oleh nabi SAW terhadap mereka melalui soalan lisan yang diajukan. Al-Tabari menyatakan:
Diriwayatkan bahawa Ibn Abbas ditanya tentang kaedah yang digunakan oleh nabi SAW ketika menguji wanita tersebut, jawabnya: Nabi SAW menguji mereka dengan bersumpah mengatakan bahawa: Demi Allah aku tidak keluar kerana benci suami, demi Allah aku tidak keluar kerana menginginkan satu tempat, demi Allah aku tidak keluar untuk mencari dunia (harta), dan demi Allah aku tidak keluar melainkan kerana cintakan Allah dan Rasulnya. (Tafir al-Tabari, Dar al-Fikr, Beirut, jilid 28, hlmn 67)
4. Imtihan boleh berlaku dalam pelbagai konteks, sama ada kehidupan itu secara keseluruhannya atau dalam konteks yang lebih kecil. Dalam konteks pendidikan kita telah sedia makluman akan kepentingan dan kesannya. Berusahalah secara maksimum dan bertawakkallah kepada Allah. Ia merupakan tempoh yang sangat penting bagi seorang penuntut ilmu. Berjaya mengurus tempoh ini bermakna kejayaan, dan sebaliknya jika gagal mengurusnya maka ia bermaksud kegagalan.
5. Tempoh ini menguji akidah dan keyakinan kita. Lebih signifikan dikaitkan dengan qadha’ dan qadar Allah SWT, yang mubram dan yang mu’allaq. Percaya atau tidak dengan janji Allah Azza wa Jalla, dan di antara perbuatan Allah dan perbuatan manusia. Bagaimana pula dengan teori al-kasb (usaha dan ikhtiar) dalam aliran al-Asya’irah. Boleh jadi ada yang terjerumus menjadi al-Jabariah, al-Qadariah atau al-Muktazilah. Kita disuruh berusaha tetapi pada masa yang sama Allah SWT telah tentukan qadar kepada kita, bagaimana ye?. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa nabi bersabda:
Sesungguhnya kejadian setiap daripada kamu di dalam perut ibunya empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah seumpama dengannya, kemudian menjadi mudhghah (fetus) seumpama dengannya, kemudian malaikat dihantar kepadanya dan disuruh dengan empat kalimah; dituliskan rezekinya, ajalnya, amalnya, kemudian dituliskan penderitaan (neraka) atau kebahagiaan (syurga), kemudian ditiupkan kepadanya roh (nyawa). (Riwayat Abu Daud)
6. Tempoh imtihan ini juga menguji syariat dan ibadah. Ada yang menjadi baik pada musim imtihan tetapi kembali melakukan maksiat selepas tamat imtihan, alasannya supaya boleh jawab soalan dengan baik kerana maksiat boleh gelapkan hati. Terdapat juga yang fana’dengan nota dan study group hingga melewatkan solat dan mengabaikan solat berjemaah, mereka kata masa tak cukup dan kena ‘study maut’. Itu baru yang wajib belum lagi yang sunat seperti baca al-Qur’an, solat sunat rawatib dan bersedekah, lagi lah jauh untuk dilakukan. Namun masih ada yang istiqamah dengan peribadi muslim, tahniah untuk mereka. Hakikatnya manusia adalah hamba Allah SWT selagi hayat dikandung badan, samada musim imtihan atau tidak, saat kritikal atau biasa. Allah maha mengetahui setiap tindak tanduk kita, sama ada yang zahir atau batin. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 97-99:
Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa engkau (Muhammad) bersusah hati dengan apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah daripada orang-orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu yakin (kematian).
7. Akhlak dan peribadi kita juga teruji dalam tempoh ini. Akhlak dengan rakan sebilik, serumah, sejabatan, sefakulti dan seuniversiti. Masing-masing menggunakan kaedah tersendiri dalam mengulangkaji tanpa menghiraukan sekelilingnya. Ada kaedah yang biasa dan ada kaedah yang ganjil bahkan menyakiti hati orang lain pula. Pendek kata penuntut ilmu sangat kreatif dalam hal ini. Janganlah kejayaan yang kita dapat nanti ada yang terguris dan marah dek kerana perbuatan kita. Biarlah semua orang gembira dan bahagia dengan kejayaan kita. Tunaikan hak kepada mereka yang berhak mendapatnya. Diriwayatkan daripada Abu Juhaifah daripada ayahnya:
Nabi SAW telah mempersaudarakan Salman al-Farisi dengan Abu Darda’, satu hari Salman menziarahi Abu Darda’ lalu Salman melihat Ummu Darda’ dalm keadaan bajunya lusuh, Salman bertanya: Apa yang berlaku? Ummu Darda’ menjawab: Saudaramu Abu Darda’ tidak berhajat kepada dunia. Datang Abu Darda’ dan menyiapkan makanan untuk saudaranya. Abu Darda’ menjemput Salman: Silakan makan, aku berpuasa. Salman menjawab: Aku tidak akan makan sehingga kamu makan. Abu Darda’ pun makan. Pada malamnya Abu Darda’ bangun untuk qiamullail, Salman berkata: Tidurlah. Abu Darda’ pun tidur. Seketika Abu Darda’ bangun lagi untuk qiamullail. Salman berkata: Tidurlah, maka Abu Darda’ pun tidur. Pada akhir malam Salman bangun dan berkata kepada saudaranya: Bangunlah sekarang dan kita solat. Salman berkata lagi: Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Tuhanmu, untuk dirimu juga ada hak, untuk keluargamu juga ada hak, maka berikanlah hak kepada setiap yang berhak. Kemudian Abu Darda’ mendapatkan nabi SAW dan menceritakan kisahnya, lalu nabi berkata kepadanya: Salman benar. (Riwayat al-Bukhari)
8. Tempoh imtihan ini juga, setiap kita mesti menjaga kesihatan. Kebersihan tempat tinggal dan kebersihan diri kerana ia sangat memberi kesan dalam menuntut ilmu. Jika tidak dijaga, ia boleh menjejaskan kesihatan. Apabila dah sakit, maka kita tidak mampu menggunakan masa yang diperuntukkan secara maksimum, pada waktu ini imtihan pun sudah tidak berfaedah baginya. Makanan yang masuk dalam badan kita juga perlu dipastikan halal dan baik. Ia bukan semata-mata tentang kesihatan, tetapi juga ada kaitan dengan doa yang mustajab. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa:
Ketika dibacakan ayat: Wahai manusia makanlah apa yang ada di atas muka bumi ini daripada yang halal dan baik (al-Baqarah ayat 168), bangun Sa’ad bin Abi Waqas dan berkata: Ya Rasulullah, doakanlah untukku agar Allah menjadikanku orang yang mustajab doanya. Nabi SAW menjawab: Wahai Sa’ad, perelokkanlah makananmu nescaya doamu akan mustajab, demi sesungguhnya yang jiwa Muhammad dalam genggamannya, seorang hamba yang memasukkan walau sesuap makanan yang haram ke dalam rongganya, maka Allah tidak akan menerima amalannya selama empat puluh hari. (Riwayat al-Tabrani, al-Awsat)
9. Imam al-Haramain al-Juwaini (478H) yang merupakan guru kepada Imam al-Ghazali (505H), pernah mendedahkan kepada anak muridnya bahawa faktor yang menyebabkan beliau kurang lancar dalam pengajarannya adalah kerana makanan. Iaitu saki baki susu yang beliau minum daripada jirannya ketika masih kecil, yang pada waktu itu ayahnya telah berpesan supaya isterinya tidak memberikan susu selain susu badannya. Ibunya tidak perasan ketika sedang sibuk menyiapkan makanan, datang jirannya dan mendapati Imam al-Juwaini menangis lantas disusukannya. Itulah yang menyebabkan beliau tidak lancar dalam pengajaran walaupun berlaku puluhan tahun yang silam. Jadi, makanan sangat memberi kesan, maka jagalah setiap makanan yang masuk ke dalam rongga kita.
10. Kesimpulannya, tempoh imtihan perlu diurus dengan baik merangkumi ilmu dan amal. Tawakkal pula selepas daripada usaha dengan menggabungkan antara takut dan harap. Berdoa dan bermunajatlah kepada Allah dan mintalah dengan rintihan dan keyakinan. Imtihan yang berfungsi untuk menguji tahap penguasaan ilmu kita juga adalah ujian buat kita.
Ujian adalah untuk menguji tahap penguasaan, menguji siapakah antara kita yang terbaik. Tahap penguasaan apakah yang perlu kita kuasai sebenarnya?
= tahap penguasaan hati dari dipimpin nafsu
= tahap penguasaan hati dari sifat marah
= tahap penguasaan Islam di atas segala-galanya.
= tahap penguasaan Ilmu untuk kita amalkan
= tahap penguasaan tahu untuk mencetus mahu
= tahap penguasaan cinta dari cinta selain dari kepada PENCIPTA CINTA!
Kenapakah kita mahu jadi yang terbaik?
= Kerana setiap manusia dilahirkan sebagai juara
= Kerana hanya yang terbaik akan dibalas dengan balasan yang terbaik
= Kerana hanya kereta yang terbaik mampu dibawa laju
= Kerana hanya fokus yang terbaik memberi natijah ujian yang terbaik
= Kerana hanya pengorbanan terbaik membuahkan kemanisan di akhirnya
= Kerana untuk mendapatkan redhaNYA. Kenapa?
= Kerana DIA menciptakan kehidupan dan kematian untuk menguji kita manakah antara kita yang terbaik amalannya? (rujuk surah al-Mulk, ayat 2)
Dipetik Oleh : Mohd Daharudin bin Haji Daud
No comments:
Post a Comment